MY FOLLOWERS

Thursday, May 30, 2013

ELAK 5 IDENTITI NEGATIF


 

Assalamualaikum kawan-kawan sekalian,

Harapan saya, kawan-kawan dan para pembaca semua sihat belaka dan dapat menjalani ibadah seharian dengan ikhlas dan sentiasa memperoleh keberkatan daripada Yang Maha Esa. Amin.

Baiklah, dalam blog saya pada kali ini, saya nak garapkan isu tentang mencari identiti. Bagaimana nak mencari identiti? Setelah difikirkan seharian, perkara pertama dalam mencari identiti adalah mengatasi sikap negatif yang ada.

Disini saya nak terangkan dan kongsi bersama kalian beberapa perkara sikap negatif dan cara untuk mengatasinya. Jom kita baca!

1. Takut kritikan

Kebiasaannya perasaan takut ini timbul dan tergambar daripada perasaan atau imaginasi. Manusia dan imaginasi tidak dapat dipisahkan. Namun perasaan takut ini datang apabila kita berimaginasi mengenai perkara-perkara buruk yang orang lain akan lakukan atau katakan tentang diri kita. Sikap dan prasangka buruk terhadap orang lain itu sangat berbahaya kepada diri kita. 

Nasihat saya: Jangan berasa malu, segan dan takut untuk bertindak. Yakin dengan diri. Kehidupan adalah medan ujian. Kita akan menjadi lebih baik dengan menghadapi lebih banyak cabaran. Apa-apa yang kawan-kawan lakukan jangan takut dengan realiti!
   
2.  Malu tidak bertempat

Perasaan malu timbul disebabkan kurang mempercayai diri sendiri. Mungkin ia wujud disebabkan cara seseorang itu dibesarkan dan pergaulannya dengan orang sekeliling. Kadang kala ibu bapa dan rakan-rakan terlalu kerap mengkritik dan merendah-rendahkan kekurangan kita. Sikap sebegini sebenarnya menanamkan benih-benih malu tidak bertempat dalam diri. 

Nasihat saya: Hidup ini satu pilihan. Pilihan yang terbaik apabila kita tahu siapa kita. Ke mana arah tujuan kita dan apa pegangan kita. Jika kita kenal diri kita maka kita akan tahu apa yang kita akan lakukan. Kita kena berani hadapi sesuatu cabaran.  

3. Keras hati 

Sekiranya kita rajin bermuhasabah, kita akan dapati banyak kelemahan  yang wujud dalam diri. Antara kelemahan yang ingin saya sentuhkan ialah keras hati. Apabila dinasihati mereka tidak mahu mendengar. Mereka bertindak tanpa mengambil kira pendapat orang lain. Walaupun tindakan itu salah dan kata orang lain itu betul, mereka tetap mempertahankannya. Sebab apa? sebab ego yang membuatkan mereka keras hati. 

Nasihat saya: Terimalah teguran nasihat dan teguran. Orang yang bijak akan belajar daripada pengalaman dan kesilapan orang lain. Tujuannya apa? Tujuannya agar tidak membuang masa unuk melakukan kesalahan yang sama. Jika ingin dihormati, belajar menghormati orang lain. 

4. Malas

Ini sikap kritikal. Malas bagaikan kanser yang cepat merebak dan merosakkan sistem badan yang lain. Untuk menghapuskannya hanya melalui kemoterapi ataupun pembedahan. Begitu juga malas, ia boleh melumpuhkan segala potensi diri dan kebijaksanaan jika kita tidak membuangnya. 

Nasihat saya: Jangan jadi pemalas! 

5. Takut gagal 

Siapa yang ingin gagal? Mereka itulah orang yang mahukan kejayaan tetapi berasa takut untuk membawa kejayaan itu dalam menghadapi kehidupan seterusnya. Begini maksudnya, setelah lulus dengan cemerlang di sekolah ataupun universiti, maka mestilah kita meneruskan kecemerlangan dalam kerjaya. Jika kita takut membawa kejayaan itu dengan tidak berani mencuba dan menghadapi risiko, sebenarnya kita takut kepada kejayaan dan berkeinginan untuk gagal. 

Nasihat saya: Tiada apa-apa yang boleh menghalang seseorang yang mempunyai keinginan untuk berjaya. Setiap rintangan itu umpama selangkah kita mencapai kejayaan. Ia akan mempercepatkan lagi seseorang untuk mencapai kejayaan. 

Bagitulah srba sedikit yang dapat saya kongsikan pada hari ini. Moga dapat bertemu lagi pada masa lain untuk berkongsi manfaat bersama. Ayuh, kita berazam untuk mengamalkannya! Jadikan diri kita sebagai manusia terpilih untuk beramal dengan ilmu yang kita ada. 

Wallahuaklam

Tuesday, May 28, 2013

NIKMATNYA SOLAT!


 


Nikmatnya solat!
  1. Kosongkan hati  daripada sesuatu yang tidak berkaitan ketika solat (hal keduniaan).  
  2. Memahami makna bacaan dalam solat. 
  3. Mengagungkan Allah atas kehadiran hati yang cuba dicari dalam solat.
  4. Hadirkan perasaan takut dan takwa kepada Allah. 
  5. Mengharap balasan Allah dan memohon dijauhkan daripada neraka buat orang yang lalai dalam solat.
  6. Malu apabila berada di hadapan Allah.  
  p/s: tunaikan kewajipan anda sebagai seorang Muslim yang taat pada perintah Allah dan RasulNya. 


Monday, May 27, 2013

ZIKIR SEBELUM TIDUR


Zikir Sebelum Tidur   

 

Kadangkala, Allah SWT memberikan kita penyakit atau kesusahan dalam hidup supaya kita benar-benar mengingatiNya dan kembali kepadaNya. 

Berzikir adalah salah satu daripada cara membenteng diri daripada gangguan-gangguan seumpama itu. Zikir yang dianjurkan ialah Lailahaillallah (Tiada Tuhan selain Allah). 

Wahai kawan-kawan, ia perlu diamalkan selalu dan secara berterusan terutama sebelum tidur. Ini kerana apabila tidur dalam keadaan zikir, roh kita akan turut berzikir dan apabila kita bangun daripada tidur, perkara pertama yang kita ingat adalah 'Lailahaillallah'.

Berzikir bukan sahaja selepas solat, malah perlu diamalkan sentiasa di dalam hati kita sama ada ketika menjalankan aktiviti seharian bekerja, memandu dan sebagainya. Oleh sebab itu, Allah SWT amat sayangkan ahli zikir kerana mereka sentiasa ingat pada Allah SWT. Apabila kita ingat pada Allah SWT, mustahil Dia tidak ingat pada kita. 

Dalam pada itu, manusia hanya akan mengingati Allah SWT apabila menghadapi saat-saat susah dan sakit dan sebaliknya begitu mudah melupakanNya bila mana senang dan sihat. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana mengingati Allah SWT perlu sentiasa disuburkan dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa. 

Ingatlah kawan-kawan, Allah SWT memberikan kita penyakit atau kesusahan dalam hidup supaya kita benar-benar mengingatiNya dan kembali kepadaNya. 

Kadangkala, sesetengah orang sakit disebabkan dosa mereka yang lalu. Allah SWT menjadikan mereka sakit supaya insaf dan sedar. Apabila kita sakit, timbul penyesalan dan keinsafan pada diri menyebabkan kita akan ingat pada Allah SWT. 

p/s: Amalkan zikir sentiasa sebelum tidur dan setiap waktu mahupun setiap detik...  


Sunday, May 26, 2013

WAHAI PELAJAR, KEJAR MASAMU


 

Wahai Pelajar, Kejar Masamu. 

Disiplin Masa  

Sebagai seorang pelajar mesti mengatur masa dengan baik agar matlamatnya tercapai seperti yang dikehendaki. Jika tidak masa akan berlalu begitu sahaja tanpa manfaat. Kegagalan mengatur masa akan menyebabkan kegagalan dalam pelajaran. 


Namun, setelah mengatur masa tersebut, maka perlulah disiplin untuk melaksanakannya. Jangan hanya mengatur masa tetapi tidak melaksanakannya, itu juga jalan kegagalan! 


Maksimunkan Masa 


Seorang pelajar mesti pandai merancang aktivitinya mengikut keutamaan. Urusan yang paling penting mesti diutamakan daripada yang kurang penting. Dan yang kurang penting jangan sampai melalaikan urusan yang penting. 


24 jam yang dianugerahkan kepada manusia  mesti diisi dengan pengisian yang bermanfaat. Apa pengisiannya? Ayuh kita lihat enam tip pengisian yang bermanfaat.


1. Membaca 


Wahai kawan-kawan, anda harus memperuntukkan 5 jam sehari untuk membaca. Seorang pelajar perlu banyak membaca bagi perkembangan minda. Sebaik-baik waktu membaca ialah sebelum Subuh dan sebelum Maghrib. 


2.  Ibadah 


Bina hubungan baik dengan Allah s.w.t. Kebersihan hati dapat menjernihkan minda dan menguatkan hafalan. Biasakan diri bangun malam untuk bertahajud kerana ia amalan ulama terdahulu. 


3. Riadah


Berikan hak pada tubuh dengan sedikit regangan melalui riadah. Otak yang cerdas datang daripada badan yang cergas. Paling tidak, melakukan push-up atau mengangkat beban di dalam bilik. Masa yang terbaik untuk beriadah adalah selepas Subuh dan selepas Asar. 


4. Bergaul 


Pergaulan dengan manusia akan melatih anda berkomunikasi. Pastikan pergaulan itu mampu meransang minda anda dengan aktiviti dan perbincangan yang bermanfaat. 


5. Cakna


Pelajar mesti peka dengan perkembangan politik, ekonomi dan sosial di sekitarnya. Kepekaan ialah agen  peningkatan pengetahuan. Melalui membaca akhbar dan menonton berita anda mampu mengisi aktiviti itu. 


6.Berhibur


Ambil sedikit masa untuk memberi kerehatan pada jiwa. Pandai-pandailah memilih hiburan yang tidak menyalahi syariat seperti kerehatan dan kembali bersemangat untuk melakukan aktiviti seterusnya. Nmaun jangan terlalu kerap agar ia tidak melalaikan.   




Friday, May 24, 2013

PERASAAN BILA KENA MARAH



Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang... 

Pada hari ini, saya ingin membincangkan satu topik yang menjadi kebiasaan dalam kehidupan setiap orang, iaitu dimarahi. Apa perasaan anda ketika itu dan bagaimana anda mengatasi atau mengawal situasi sedemikian? haha.. tepuk dada, tanyalah diri... 

Jujur dari hati, saya memang tak suka dimarahi. Sangat-sangat tak suka apatah lagi apabila perkara yang salah itu bukan saya yang buat, akan tetapi tetap dimarahi.  Bagi saya itulah lumrah kehidupan. Perasaan saya cukup sedih apabila kena marah, seolah-olah dunia ni gelap seketika, terasa macam dihentam-hentam. Memang dah adat, kalau dah salah, mesti kena betul, kena tegur dan kena marah. 

Tapi cuba renungkan seketika, kenapa kita kena marah? salah kita kan, cuma nak mengaku salah, masing-masing tak nak mengaku dan terus dengan keangkuhan dan keegoan yang merajai diri sendiri. 

Bagaimana kita nak menghadapi situasi ini? Terima dengan seadanya, redha dengan  apa yang berlaku. Mungkin ada hikmahnya. Manusia jika tidak ditegur, dia tetap berada dalam takuk yang lama. Sekurang-kurangnya, apabila dimarahi kita tahu di mana kesilapan kita dalam membuat sesuatu pekerjaan. Di samping kita juga mengambil serius dengan apa yang berlaku dan membaiki kesilapan tersebut. 

Tetapi, kenapa kita tetap tak boleh terima kalau dah kena marah? hahaha... Ubahlah persepsi diri sendiri, supaya kita terus maju dan mendapat kejayaan yang diimpikan. Anggaplah ini adalah liku-liku kehidupan dalam mencapai kecemerlangan yang diimpikan. Maafkan diri sendiri dan meminta maaf dengan orang yang tengah beremosi dengan kita tu. 

Reaksi yang perlu dielakkan ketika kena marah adalah marah balik atau berlawan mulut dengan orang tersebut. Jikalau orang tersebut ibubapa kita? Guru-guru kita? Pensyarah kita? Boss kita? Bagaimana kawan-kawan? Usah sekali-kali kita berlawan mulut dengan orang yang lebih tua pada kita bahkan mereka semua lah yang akan membimbing kita, mendoakan kita, mendidik kita hingga berjaya. Hati kena ikhlas menerima teguran daripada mereka. 

Usah sekali-kali menyimpan perasaan dendam pada mereka. Bahkan doakan mereka supaya lembut hati dan sentiasa memahami diri kita - perkara yang betul dan baik je lah. 

Selain itu, tenangkan hati anda dengan membaca al-Quran, berzikir dan muhasabah kembali dengan peristiwa tersebut. Nak lebih sedap, mesti korang semua tidur je lebih baik kan. Ambillah pengajaran dengan apa yang berlaku. Jika difikirkan kembali, sebenarnya orang yang marah kat kita, mereka sayangkan kita tau, mereka nak lindung kita, mereka nak jaga kita sebaiknya,  sebab tu lah mereka marah kita. hehehe. Contoh macam ayah marah anaknya, sebab tak siapkan kerja sekolah, ayah sayangkan anak itu supaya anak itu jadi rajin dan pandai sehinggalah menjadi orang yang berjaya dan berguna pada masyarakat, negara dan agama. 

Aduh, banyak pulak saya berceloteh di sini, hehe... moga kalian mendapat input dan informasi yang berguna pada kali ini. Jumpa lagi. 
Assalamualaikum.wbt. 

Thursday, May 23, 2013

TIPS GEMBIRA SEPANJANG HARI



 Tips Gembira Sepanjang Hari 

Bagaimanakah perasaan anda pada setiap hari? Sentiasa gembira atau kadang-kadang terasa amat sedih? atau tiada perasaan sedih mahupun gembira? pelik tapi segelintir manusia mengalami perasaan tersebut. Ingin tahu bagaimana diri anda boleh gembira sepanjang hari.  

Jom sama-sama kita amalkan tips yang bermanfaat ini.
 

1- Senyum 


Pada waktu pagi anda mestilah senyum tanda gembira supaya muka anda sentiasa ceria dan perasaan anda berasa sangat gembira. Mengapa perlu masam setiap detik. Duhai kawan-kawan senyum itu ibadah, "Tersenyum ketika bertemu saudaramu adalah ibadah."( Hadis Riwayat Tirmizi, Ibn Hibban dan Baihaqi) 

2- Mulakan dengan Bismillah


Mulakan pagi hari dengan Bismillah yang bermaksud "Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang." Lafaz Bismillah ini dapat menjauhkan kita daripada bisikan syaitan dan was-was 


3- Bersyukur


Ucaplah Alhamdulillah tanda syukur kepada Allah SWT. Kita mestilah bersyukur kerana masih diberi nafas pada pagi ini dengan dapat melihat sinaran matahari dan menghirup udara segar kurniaan Allah. Bersyukurlah kerana kita masih diberi peluang dan kesempatan untuk melakukan dan menjadi yang terbaik dan lebih baik daripada semalam.  


4- Tekad bermotivasi 


Motivasi harus dijaga, dan sekiranya tidak dipelihara ia akan menjadikan kita tidak bersemangat untuk mencapai apa yang diimpikan. Sebaiknya lihat kembali nota-nota kecil yang ditampal di dinding apa matlamat dan tujuan hidup kita supaya kita sentiasa bermotivasi dalam mengejar sesuatu kejayaan dan impian selama ini


5- Maafkan orang lain


Sebelum dan selepas bangun daripada tidur, maafkan insan di sekeliling kita. Memaafkan dapat menghilangkan segala kerunsingan dan keresahan hidup. Hati juga akan menjadi tenang dan tenteram apabila kita memaafkan insan lain.  



 p/s : semoga bermanfaat dan gembira sepanjang hari!




MAKAN UNTUK SIHAT

  
Makan untuk sihat 

Masalah yang berkaitan dengan pemakanan ini tidak hanya melanda golongan dewasa, para pelajar dan remaja turut terlibat sama. Berdasarkan gambar  diatas, kanak-kanak tersebut ragu-ragu dalam pemilihan makanan yang sihat. Oleh itu, ibubapa harus menyarankan anak-anak merekaa supaya makanan yang berkhasiat untuk tubuh badan. 

Apa yang kita harapkan daripada makanan yang disuap ke mulut kita ialah keberkatan. Dengan makanan yang berkat itulah kita akan memperoleh tenaga yang untuk sihat dan beribadat kepada Allah SWT. Makanan yang tidak berkat masuk ke badan kita, besar kemungkinan menyebabkan pelbagai jenis penyakit.

Untuk mencari contoh terbaik dalam soal pemakanan, kita perlu mengikut cara dan tertib Rasulullah SAW. Baginda telah memberi satu panduan yang cukup berkesan dalam soal pemakanan, agar makanan yang masuk ke badan kita benar-benar berkualiti dan terhindar daripada penyakit : 

1. Tidak manghina makanan 

Makanan tidak boleh dihina dengan apa-apa jua alasan, meskipun ia tidak disukai. Rasulullah SAW tidak pernah menghina makanan yang diberikan kepada Baginda. 
  
2. Membaca doa sebelum dan sesudah makan 

Makan dan apa-apa juaga aktiviti orang Islam sebenarnya ialah ibadat. Ia harus dimulakan dan diakhiri dengan nama Allah SWT. 

DOA SEBELUM MAKAN 
"Ya Allah, berkatilah rezeki yang Engkau kurniakan kepada kami dan jauhilah kami daripada azab api neraka." (Riwayat al-Nasa'i)

DOA SELEPAS MAKAN 
"Maha suci Allah yang telah memberi rezeki kepada kami, dan menjadikan kami daripada golongan Muslimin." (Riwayat al-Tirmizi dan Abu Daud) 

3. Makan dengan sedikit 

Salah satu diet Rasulullah yangbaik ialah diet yang seimbang. Rasulullah memberi penekanan untuk mengambil makanan dalam kuantiti yang sedikit sebagai langkah untuk mengelakkan penyakit. 

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : "Tidak ada yang lebih buruk daripada seseorang yang mengenyangkan perutnya. Mencukupi untuk anak Adam mengambil beberapa suap makanan untuk melegakan laparnya. Jika dia mahu lebih daripada itu, memadai perutnya untuk satu pertiga makanan, satu pertiga air dan satu pertiga untuk dia bernafas." (Riwayat al-Tirmizi dan Ibn Majah) 

4. Makan dengan perlahan 

Makan dengan perlahan amat disarankan untuk tujuan kesihatan. Ini membolehkan senaman pada rahang dan juga membolehkan pencernaan makanan dengan enzim yang terdapat dalam air liur. Percernaan yang berkesan dapat berlaku kerana makanan dapat dikisar kepada bentuk yang lebih kecil.

5. Makan berjemaah 

Makan bersama-sama boleh mewujudkan keadaan yang harmoni dan persefahaman yang baik. Islam menganjurkan setiap keluarga untuk makan secara berjemaah kerana ini dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan dan mewujudkan persefahaman yang baik. 

Hadis Nabi SAW mafhumnya: "Makanlah bersama-sama dan janganlah berasingan, keberkatan itu bersama-sama dengan jemaah (kumpulan). " (Riwayat Ibn Majah)

p/s: makanlah untuk sihat dan beribadat kepada Allah.